Friday, August 14, 2009

PerGi Tak KembaLi

Jalan Duta KL
Jam 1.30tghari @ 13-08-09


terkedu tatkala mendengar berita,
lantas terdiam kaku tidak percaya,
sesungguhnya terhenti nafas buat seketika,
kerana sukar untuk menerima takdirNya


seorang hamba dipanggil pulang
meninggalkan semua insan tersayang
tiada terdaya menahan jua melarang
tatkala janjiNya datang


sedihnya isteri dan permata hati
tidak terduga ayahkan pergi
tinggalkan dunia dan segala isi
segala kenangan tersemat di hati
doa semua jadi pengganti



terlalu sukar untuk menitip kata kali ini. berulang kali ingin mula menulis, hati jadi tidak keruan. tak sanggup! tak terdaya! tapi ingin jua berkongsi rasa. kepulangan Ustaz Asri Rabbani kepadaNya tidak pernah dijangka oleh akal manusia seperti saya. sementelah usianya baru sahaja mencecah angka 40 tahun, masih muda. tetapi siapa kita untuk menidakkan takdirNya. telah tertulis ajalnya pada 13 Ogos 2009 kira-kira seminggu menjelangnya Ramadhan 1430H.
hati mana tidak terkejut, tatkala tiada khabar Ustaz sakit, tiba-tiba sahaja dipanggil pulang.



saya membesar bersama-sama dengan alunan suaranya yang lemak merdu, teringat saya tatkala pertama kali menyaksikan persembahan Ustaz di Malam Kesenian Islam yang diadakan di Stadium Tertutup Kuala Terenganu, sekitar tahun 1991-1992. pemergian saya disponsor oleh Ustazah Kamariah dari Kg. Jeram, Manir, KT. saat itu Ustaz masih bernaung dengan kumpulan nasyid Nadamurni. stadium penuh sesak dengan pengunjung, saya masih ingat lagi malam itu ada sebuah pentomen, berkenaan rintihan seorang ayah di hari kematiannya yang mengharapkan doa anak-anaknya. saya cukup terkesan dengan pentomen berkenaan. lagu-lagu Ustaz bersama Nadamurni amat saya gemari, juga setelah Ustaz melahirkan Rabbani, nasyid-nasyidnya tidak pernah menghampakan saya, halus dan penuh pengertian, ada satu lirik nasyid yang paling saya gemari dulukala, tajuknya telah saya lupa, liriknya lebih kurang begini.... tuhan, kubisikkan kerinduan, keinsafan, pengharapan... tuhan kusembahkan pengorbanan membuktikan perhambaan...kalau tak silap saya, judul albumnya munajat.



hilang sudah seorang pendakwah yang berjuang melalui industri seni nasyid tanahair. hilangnya tiada berganti, ibarat burung kepatahan sayap. Rabbani hilang permata bersinar, tunggak kekuatan. yang tinggal hanya suaranya di dalam album dan CD, juga rakaman di kaca TV, juga wadah dakwahnya di dalam tiap lirik nasyid, selamat jalan Ustaz Asri, kembali ke pangkuan Ilahi, kerana telah datangnya janji, dunia hanya sementara, tiada yang abadi. Alfatihah.


'wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada tuhanmu dengan keredhaan dan bersukaria. masuklah engkau kepada hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu' [Al-Fajr 27-30]


PERGI TAK KEMBALI


setiap insan pasti merasa
saat perpisahan terakhir
dunia yang fana akan ditinggalkan
hanya amalan yang dibawa


terdengar sayup surah dibaca
sayunya alunan suara
cemas di dada, lemah tak bermaya
terbuka hijab di depan mata


selamat tinggal pada semua
berpisah kita selamanya
kita tak sama nasib di sana
baikkah atau sebaliknya


amalan dan taqwa jadi bekalan
sejahtera bahagia pulang ke sana
sekujur badan berselimut putih
rebah bersemadi sendiri
mengharap kasih anak dan isteri
apa mungkin pahala dikirim


terbaring sempit seluas pusara
soal bicara terus bermula
sesal dan insaf tak berguna lagi
hancurlah jasad dimamah bumi


berpisah sudah segalanya
yang tinggal hanyalah kenangan
diiring doa dan air mata
yang pergi takkan kembali lagi


p/s: walaupun saya tidak pernah bersua muka dengan Ustaz Asri, dan hanya kenal alunan suaranya sahaja, tapi saya merasakan dia tersangat dekat dengan saya, mungkin kerana suara yang lemak merdu bisa menyejukkan hati saya, melapangkan minda saya, memberi ketenangan, jua memberi keinsafan, saya benar-benar merasa kehilangan! diharapkan ahli Rabbani lainnya akan meneruskan usaha dakwah ini dalam mengembangkan syiar Islam melalui irama nasyid kontemporari. yang pergi tidak kembali, tapi masih boleh dicari ganti, walaupun tak serupa, perjuangannya sama!

1 comment:

  1. semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang2 beriman dan beramal saleh. al-Fatihah..

    ReplyDelete