Tuesday, July 7, 2009

catatan seorang mama! 06-07-08



aidilfitri 2007

ucapan pertama mama dan ayah di layar ini adalah 'selamat hari lahir sayang' .mama tak sangka setahun sudah usiamu duhai puteri hati di dalam kehidupan mama dan ayah.

masih terkenang-kenang segala kenangan mama di saat menanti kehadiranmu dan selepas mengandungkan dirimu sayang. kenangan yang tidak pernah tercatit di dalam diari harian mama tetapi kekal tersemat sebagai satu memori terindah di minda mama buat selamanya. coretan ini mama hadiahkan buat anak mama yang tersayang bersempena genap setahun usiamu. walaupun tiada birthday party dan kek harijadi, doa mama dan ayah sentiasa memayungi perjalanan hidupmu sehingga hujung nyawa.



sayangku nabihah,
sebaik disatukan pada 17 Disember 2006, mama dan ayah tidak sabar-sabar menunggu kehadiranmu di dalam kehidupan kami, tidak pernah sekalipun kami merancang bila untuk menimang cahayamata, semuanya diserahkan kepada Yang Maha Esa. berbagai rasa bercampur-baur setelah masuk bulan kelima usia perkahwinan; resah gelisahnya menunggu khabar gembira, tertekan dengan pertanyaan orang sekeliling, cemburu melihat rakan mendapat baby baru, tiap kali selepas solat, mulut mama tidak henti berdoa, doa Nabi Zakaria dalam surah Ali Imran ayat 38 yang mama baca tiap saat penuh mengharap, dan kecewanya bila 'period' datang tiap bulan... ahhh tidak tertanggung rasanya saat itu. hanya kepadaNya mama dan ayah bergantung harap dan bertawakal.

sembilan bulan menanti selepas diijab kabul, akhirnya kesabaran dan penantian berbalas jua. sebaik sinar Syawal tiba di penghujung pada tahun 2007, mama disahkan hamil anak sulung. tanpa mama sedari, rupa-rupanya anak mama ini telah 2 bulan menghuni rahim mama dalam diam. kesyukuran dipanjatkan sebaiknya doktor sahkan berita tersebut. dan kegembiraan dikongsi bersama seluruh ahli keluarga kerana akhirnya doa mama dan ayah dikabulkan Tuhan. kami sujud syukur di atas anugerah ini. tak terkata, tak terkira, tak ternilai, tak terucap nikmatnya. malam itu, mama dan ayah tidor sambil tersenyum-senyum sayang. mama tahu ayah cukup gembira dan bahagia saat itu.


inilah keputusannya, positif!


sayangku nabihah,
sebaik hamil, mama mendapat alahan yang teruk dan disahkan mendapat bronkitis, muntah lendir yang banyak, tiada selera makan, berat badan turun, langsung tidak bertenaga. sering kali mama MC kerana tidak berdaya membawa diri. mujurlah ayah sentiasa berada di sisi. mengurut bila mama keletihan, menemani bila mama tidak dapat tidur, membantu segala kerja rumah. segalanya dikongsi bersama. mama ingat lagi di saat doktor menyuruh mama memakai topeng oksigen kerana mengidap bronkitis, ayah ambil gambar mama yang dah macam angkasawan sebab rupa mama saat itu macam pakai helmet motor bertopeng....heheh gambar mama yang paling tak cun sepanjang hayat mama! sebaik selesai treatment, mama muntah teruk kat tepi longkang besar depan Stesen Minyak Shell, Bangi. tu lah sekali mama muntah teruk, selepas tu semua kembali normal.

berat badan mama sepanjang kehamilan hanya naik 9 kilo sahaja, kawan-kawan seopis kata perut mama kecik je, bangga mama masa tu sebab berjaya kontrol, mama takut gemuk. ayah pula begitu menjaga pemakanan mama, hanya yang terbaik buat mama dan anak mama, paling kerap sekali mama makan kurma, kismis, kekacang, sayur brokoli, bayam, carrot, ikan yang kaya dengan protein. tu belum kena minum air soya panas takde gula yang ayah paksa mama minum. alhamdulillah, mama sihat sehingga saat melahirkan. cuma semasa kandungan mama mencecah usia 7 bulan, doktor sahkan kandungan gula/insulin dalam darah mama tinggi, so mama kena kontrol.



gambar pertama anak mama tatkala berusia 2-3 bulan


sayangku nabihah,

macam-macam ujian mama terpaksa lakukan untuk mengukur paras insulin/gula dalam darah, ambil darah jangan ceritalah, sampai lebam-lebam di tangan, pastu kena puasa untuk kontrol insulin, dan doktor bagitau kalau tak control, nanti baby dalam kandungan berisiko menjadi besar dan bermasalah. takut mama masa tu, so terpaksalah mama diet mengenangkan anak mama yang sedang membesar dalam kandungan. pengambilan karbohidrat tak boleh banyak, malam-malam makan roti sahaja, ataupun sup ataupun lauk semata tanpa nasi. sebab tu jugaklah mama kena minum soya tanpa gula. tiap kali ke pasar malam, mesti makcik yang jual air soya tu pelik dengan permintaan ayah 'makcik, air soya panas tanpa gula dua!' terpinga makcik tu, sedap ke soya tawar? muka ayah selamba, mama je lah yang senyum sumbing, kerana hanya mama sahaja yang tau rasanya. tak sedap langsung!


segala persiapan untuk menyambut kelahiran anak mama dan ayah, kami buat sedikit-sedikit. di mana saja shoping mall ada buat baby sales/ baby fair, mama dan ayah akan muncul. kata orang, barangan baby jangan beli banyak sangat sebab baby cepat membesar, so mama dan ayah beli ala kadar sahaja untuk anak mama. ala kadar pun, habis jugak seribu ringgit, tapi duit tu cover stroller, baby carrier, tab mandi, baju dan barangan keperluan diri, tilam bantal lagi. mama geram tengok baju baby yang kiut-kiut, kalau boleh semua nak borong! nasib baiklah duit mama pun bukan banyak mana :) kalau tak satu shopping mall mama beli!

tiap kali doktor scan anak mama, mama rasa tak sabar nak melihat rupa wajah anak mama. seawal usia kandungan 6 bulan, mama dah tahu jantina anak mama, perempuan. masa tu mama dengan ayah terlalu desperate nak tau jantinan anak mama, kami ke Kajang Medical Centre untuk buat scan 3-D. mama gembira sangat kerana mama memang inginkan anak perempuan. namapun awal-awal mama dah pilih. kalau boleh ayah mahu anak-anak ayah maksudnya 'yang mulia dan yang bijaksana'. ayah setuju sangat dengan nama pilihan mama kerana nama ayahpun maksudnya 'yang mulia' juga. Izzah dan ayah berkongsi maksud nama yang sama. masa tengok gambar 3D tu, mama tengok pipi anak mama tembamnya, ayah kata pipi tu ikut mama.


nabihah dalam 3-D, masa inilah mama dan ayah dapat tahu akan dapat baby girl


perkembangan anak mama baik-baik sahaja, cuma doktor risau kalau kandungan insulin/gula dalam darah yang tinggi, akan membahayakan kesihatan mama dan sayang, lantas, kes mama direfer ke hospital putrajaya. hati mama cuak sangat masa tu. dan doktor bagitau kandungan mama tak boleh melebihi 40 minggu. kalau pada saat kandungan mencecah 40 minggu, bersalin secara paksa [induce] akan dilakukan pada mama. sejak saat itu, doa mama hanya untuk kita berdua sahaja sayang, biarlah apapun yang bakal terjadi, mama hanya mahu anak mama selamat biarpun saat itu, andai tiada pilihan, mama rela dan redha andai terpaksa berkorban diri demi puteri hati mama.
sayangku nabihah,

kebetulan sepanjang kehamilan mama, harga minyak dunia naik melambung-lambung, sehinggakan pada satu tahap, harga minyak mencecah RM 2.70 seliter. memandangkan mama dan ayah berkerja di Jalan Duta dan menetap di Bangi, kami terpaksa memilih untuk berpindah dari bumi Bangi. alasan berpindah? untuk menjimatkan duit minyak dan tol tiap kali perjalanan Bangi-KL. mulalah kami mencari rumah sewa di merata-rata. akhirnya dapat sebuah apartment 3 bilik, baru je siap dan dapat CF, cantiklah tu, first hand. sewa dari cina tapi agak mahal berbanding sewa rumah di Bangi. takpelah, mama kata kat ayah 'biarlah mahal sikit, kita dah jimat duit tol dan minyak'. maka, bermulalah episod mencari kotak, membungkus barangan, memasukkan ke dalam kotak, melabel kotak-kotak, yang tinggal hanyalah barang keperluan sahaja sementara menanti saat kelahiran.


ayah bercadang untuk berpindah semasa mama dalam tempoh berpantang nanti, sempatlah ayah bersihkan rumah baru, carikan lori, carikan pembantu, dan kemas rumah baru sebelum mama mula berkerja. kesian ayah, sepanjang tempoh kehamilan, ayah tak henti-henti sibuknya. dalam tempoh mama berpantang itu jugaklah ayah bercadang untuk mengambil PTK, kerana nama ayah dah tersenarai sejak dulu lagi. so ayah agak bz jugak mencari bahan bacaan dan rujukan. kursus persediaan pun ayah tak sempat pergi. ayah hanya sempat meminjam nota-nota kursus kawan-kawan yang lain.


tahukah sayangku nabihah,

sepanjang tempoh kehamilan, ayah selalu jugak bawak mama dan anak mama jalan-jalan makan angin, mama ingat lagi saat memboyot tu mama dan famili ayah berkelah di Teluk Batik, Lumut Perak. semua orang sibuk mandi manda, makan-makan, mama cuma seronok jelah, nak happy sangat pun, tak berapa selesa, sebab cuaca masa tu agak panas. beberapa bulan kemudian, ayah bawak kita bercuti ke Pulau Pangkor dan Desaru Kota Tinggi Johor. jauhnya berjalan. mama ingat lagi pada malam di Desaru tu, tetiba perut mama sakit yang amat, memulas-mulas tidak tertahan, mama merintih di dalam tandas, rasanya macam baby dah nak terkeluar. selepas sakit berkurangan, mama baring saja dalam bilik dan tak turun makan malam, lantas tertido selepas ayah urut perut mama. mama risau andai apa-apa yang bakal terjadi malam itu, klinik mahupun hospital terlalu jauh dari resort yang kita duduki. alhamdulillah, esoknya, mama sihat seperti biasa.



mama tengah pilih ikan bilis buat stok berpantang nanti




di tepian pantai Pulau Pangkor @ 6 bulan kehamilan


sehari sebelum kandungan mencecah usia 40 minggu, mama okey-okey sahaja tanpa sedikitpun tanda untuk bersalin. tapi kerana doktor dah bagitau awal-awal yang mama tak boleh melebihi 40 minggu kehamilan, maka pada jam 9 pagi @ 05-07-08, mama mendaftar nama di hospital Putrajaya. ada 2, 3 orang lelaki yang sedang menunggu isteri masing-masing di bilik bersalin saat itu. hati mama dah dup-dap dup-dap! doktor memeriksa laluan, dah terbuka 1 cm. dan mama dijangka akan melahirkan pada esok hari bersamaan 06-07-08 bersempena genap 40 minggu kehamilan. nurse menyuruh mama jalan-jalan dulu untuk mempercepatkan bukaan jalan. mama dan ayah turun naik tangga, ayah suruh mama banyakkan gerakan. fuh penat sangat masa tu. then, mama dan ayah lepak-lepak di kantin dan ruang legar hospital sementara menanti wad kosong, kerana pada hari tersebut, wad penuh. ramainya orang beranak hari ni, bisik mama.

pada hari itu @ 05-07-08, yang jatuhnya kebetulan pada hari sabtu, keluarga ayah semuanya bercuti ke Cameron Highland, kesian ayah, dia teringin nak turut serta tetapi tidak berpeluang. kerana mama perlu mendaftar masuk ke hospital. kami berbalas sms dengan mereka yang tengah seronok bercuti di tempat sejuk tersebut, dan bermacam-macam petua diberikan oleh seisi keluarga untuk mempercepatkan kelahiran, baca itulah baca inilah, makan itulah makan inilah, buat itulah buat inilah, macam-macam. mama hanya geleng kepala.



tempat daftar bilik bersalin Hospital Putrajaya


sayangku nabihah,

menjelang jam 2 petang @ 05-07-08, mama mendapat tempat dalam wad, kena tidur semalaman menanti hari esok. sebaik mendaftar, mama masuk ke bilik yang menempatkan 2 katil. kebetulan seorang lagi pesakit akan mendaftar keluar petang itu, jadi terpksaalah mama bersendirian petang dan malam itu. ayah tanya mama, tak rasa sakit ke? mama kata tak rasa apa pun lagi. malamnya, sebaik ayah pulang ke rumah kerana tidak dibenarkan menemani mama, mama menghabiskan masa membaca Surah Yasiin untuk mendapatkan ketenangan dan kekuatan menempuh esok hari. malamnya mama tak dapat tidor lena, berbagai rasa bercampur baur, resah gelisah, takut dan sebagainya.

pagi esoknya @ 06-07-08, pagi-pagi lagi seorang doktor perempuan datang buat observation, bukaan sudah2 cm, mungkin petang akan bersalin, kata doktor. ketika itu, ada 3 orang doktor pelatih bersama dengan doktor itu. doktor tanya mereka, agaknya berapa kg anak dalam kandungan mama, mereka meneka dalam 3 kg. doktor tersebut hanya mengangguk setuju. dalam hati mama berkata, wah! terrornya doktor-doktor pelatih ni, tengok je dapat teka berapa kg. waktu itu, mama dah tahu berat anak mama semasa last check-up beberapa minggu lalu. dan tekaan itu memang tepat
sebaik saja doktor tersebut memeriksa mama, mama dibawa ke sebuah bilik untuk dimasukkan ubat mempercepatkan bukaan. saat itu, mama dah pasrah dah, bersedia menghadapi segala. mama juga tak sabar menanti kedatangan ayah pada waktu melawat. selepas dimasukkan ubat, mama masuk ke bilik. dan tak lama kemudian, satu katil disorong masuk ke dalam bilik, oh! ada kawanlah mama hari ni. pesakit tu yang juga seorang doktor di hospital ini sahaja baru bersalin jam 5 pagi, anak ketiga baginya. dapat anak perempuan setelah 2 hero. mama cemburu melihat doktor itu telah selamat menghadapi saat-saat genting. lagi membuatkan mama cemburu mendengar ceritanya yang mengatakan bersalin ini takdelah sakit sangat. hello! doktor, saya ni anak sulung, takde pengalaman, mestilah saya takut! kalau dah anak tiga, tentu saya pun dah tak rasa apa dah! hati mama membebel.

Tengahari itu ayah datang jua, hilang sedikit tekanan hati mama. sebaik makan tengahari, doktor periksa jalan, okey dah buka 4 cm, boleh masuk labor room. tapi doktor tu terasa pelik kenapa dia terasa lembut sahaja di laluan, mungkinkan baby sonsang. sepatutnya keras kerana kepala telah turun ke bawah. terus hati mama berdegup kencang. doktor memberi mama ubat membuang air besar. sebaik makan, terus mama bergegas ke toilet, huh! cepatnya kesan ubat ni. setelah selesai segala urusan, bersiap-siap menukar baju, mama disorong ke bilik bersalin. oh Tuhan! kuatkanlah hatiku, bisik hati mama. ayah menuruti mama dalam diam tanpa suara, riak wajah ayah menampakkan kerisauan. saat itu, mama belum lagi merasai sedikitpun kesakitan walaupun jalan telah terbuka 4 cm.



jeling-jeling kat majalah buat hilangkan tekanan


nabihahku sayang,
sebaik masuk ke dalam labor room, seorang doktor india yang bertubuh agak besar datang memeriksa laluanku, ngeri nya mama tengok rupa doktor tu dan tangannya yang besar, 'abislah aku' bisik hati mama. doktor itu memeriksa laluan, kuat dijolok-joloknya, ditekan-tekan, confirm kepala baby kat bawah. lalu diambilnya sebatang rod panjang, dipecahkan air ketuban. mama tak rasa sakit lagi saat itu dan air dimasukkan ke lengan kiri mama untuk mencetuskan/induce rasa sakit. satu pain air dah dimasukkan, tiada juga rasa sakit. masuk pula air kedua. saat itu, jam lebih kurang pukul 3 petang @ 06-07-08. mama dah mula mengerut kening menahan sakit, kejap sakitnya kuat, kemudian hilang, sakit lagi, kemudian hilang balik, mama merintih kesakitan sambil memegang tangan ayah sekuat mungkin, dan berdoa memohon keampunan dan kasih sayangNya, beberapa kali doktor dan juru rawat datang observed keadaan mama sambil melihat mesin CTG. sampai saatnya mama merintih kesakitan dan memohon nurse untuk suntikan epidural setelah gas entonox tidak berjaya mengurangkan rasa sakit mama. tetapi permintaan mama tidak dilayan kerana saat itu 6 cm telah terbuka. mama kecewa sangat kerana tidak dilayan tapi mama tahu mereka tidak mahu mengambil sebarang risiko.


ayah memberi kata semangat dan tidak henti-henti membacakan selawat shifa' dan doa-doa di sebelah kanan mama di saat mama dalam kesakitan. akhirnya detik dinanti tiba jua, apabila bukaan mencecah 10 cm, semua jururawat datang menghampiri membantu mama memudahkan kelahiran. diajarnya mama teknik pernafasan dan cara meneran yang betul, mama tak pandai, berkali-kali dicuba tidak berjaya. sehinggalah muncul seorang senior jururawat marah mama kerana tidak pandai meneran, sehinggakan seorang doktor pun campur tangan. saat itu mama langsung tidak pandai meneran, keluarkanlah sayang, mama dah penat! bisik hati mama melawan rasa sakit. saat itu, mama pasrah, kesakitan telah sampai ke tahap maksimum, mama tersedar, patutlah syurga itu di bawah tapak kaki ibu, bukan senang rupanya untuk membawa seorang manusia ke alam dunia ini. dan memang patut pun ketaatan anak pada ibunya melebihi 3 kali ketaatan anak pada ayahnya.


sayangku nabihah,
mengikut cerita ayah, saat getir itu mama seolah-olah tak sedar apaepun yang berlaku di sekeliling mama. kata ayah, staff nurse suruh ayah berdiri di hujung kaki mama untuk melihat sendiri betapa kritikalnya situasi saat itu. kata ayah, hanya ubun-ubun kepala anak mama sahaja yang baru terkeluar dari laluan. tiap kali bila mama meneran, bahagian kepala anak mama akan keluar tetapi sehabis proses meneran, kepala anak mama akan masuk balik ke dalam laluan jalan. situasi masa itu sangat cemas kerana ayah tahu anak ayah masa itu dalam kelemasan, tersekat di laluan keluar tanpa oksigen yang mencukupi. dalam hati ayah berdoa memohon belas kasihan agar mama dan anak mama selamat dilahirkan. atas pertolongan nurse-nurse yang ramai di keliling mama, termasuklah yang marah-marah sebab mama tak pandai meneran, yang tekan-tekan perut mama untuk menolak anak mama segera keluar, ada pula yang memasukkan tangan di laluan dan menarik kepala anak mama keluar. keadaan cemas tetapi terkawal kerana doktor pun ada bersama membantu.

setelah lebih 10 kali mama cuba meneran bagi mengeluarkan anak mama, kesakitan mama akhirnya berakhir tepat jam 5.45 petang @ 06-07-08 setelah lahirlah putri hati mama dengan berat 3.1 kg. saat dikeluarkan muka anak mama dah kebiruan, lemas dan segera diberi bantuan oksigen. tiada tangisanpun, mama dah cuak. tapi alhmadulillah, semuanya selamat selepas itu. setelah anak mama mendapat oksigen dan warna kebiruan di muka pun hilang, jururawat menunjukkan pada mama riak wajah anak mama yang sedang lena, 'betulkan perempuan?' tanya jururawat dan mama hanya mampu mengangguk.

mengikut cerita ayah lagi, keadaan anak mama sebaik keluar sangat kritikal, tidak bersuara ataupun menangis. muka pula kebiruan tanda kekurangan oksigen. keadaan mama pula terlalu lemah dan tidak bermaya. doktor kemudiannya sepantas kilat menyedut lendiran yang menyumbat hidung dan mulut anak mama dengan menggunakan tiub kecil. sebaik sahaja lendiran disedut, barulah anak mama tersedak dan kemudiannya menangis. kata ayah, saat itu hatinya lega sangat-sangat kerana episod kritikal telahpun berakhir. ayah kata lagi, masa itu, anak mama belum habis keluar dari pintu rahim. dan doktor terus menyuruh mama meneran lagi untuk mengeluarkan keseluruhan badan. setelah dicuba berulang kali dengan tenaga yang masih berbaki, mama berjaya juga melahirkan anak mama dengan selamat. doktor kemudiannya membawa anak mama ke tempat lain untuk diberikan bantuan oksigen dan diletakkan di bawah suhu panas. tak lama selepas itu, anak mama mampu bernafas sendiri dan segala-galanya kembali normal.




nabihah dalam pelukan mama di Hospital Putrajaya



inilah foto pertama nabihah di alam maya.
sebaik sahaja dilahir dan dibersihkan.


nabihahku sayang,

ayah pun berlalu untuk menunaikan solat asar dan untuk iqamatkan anak mama. jururawat mula menjahit luka episiotomi, mama rasa begitu bersyukur kerana telah selamat melalui saat getir menggadai nyawa melahirkan benih cinta. gembira bukan kepalang. begini rasanya bersalin, sakit tapi nikmat. nikmat! nikmat kerana sakit bersalin ini akan mengurangkan dosa-dosa seorang isteri sebelum ini. bukankah ganjaran itu hebat!. selepas selamat semuanya mama diberi segelas air milo dan biskut buat mengalas perut. anak mama telah dimandikan dan diletakkan bersebelahan. nyenyak tidurnya anak mama, macam tiada apa-apa yang berlaku, sedangkan beberapa jam tadi, kami berdua bersama-sama menghadapi saat sukar dan getir. nurse mengajar mama cara menyusukan anak dengan betul. mereka mahu baby mendapat kolostrum/ susu pertama yang kaya dengan antibodi secukupnya.

mama ditolak masuk ke dalam wad semula jam 8 malam. waktu itu masa melawat telah tamat, ayah dibenarkan masuk menemani mama buat seketika. masing-masing kelu tanpa bicara, penat! memang penat! mama pula kelaparan, kali terakhir mama menjamu makanan pada waktu tengahari tadi, dan dengan menggunakan tenaga yang banyak semasa proses kelahiran, mama menjadi terlalu lapar. ayah turun ke cafe membelikan roti buat mama mengalas perut yang kosong. mama tahu ayah pun kelaparan dan keletihan, ayah pulang ke rumah setelah memastikan mama dan anak mama tiada masalah. malamnya mama tak dapat tido, terlalu excited. tetiba teringat pada kata-kata ayah sebelum pulang tadi 'kasihan, maklong, makngah, dan uncle chaun datang melawat di saat mama dalam labor room. tetapi tidak dapat bertemu'.


ramai orang bertanya mama tak serik ke bersalin? jawapan mama , tak! kerana kesakitan dan segala jerit perih yang mama tanggung sepanjang proses kelahiran, telah hilang tatkala mama memandang wajah mulus anak mama di dalam dakapan. mama puas dapat bersalin secara normal walaupun sakitnya hanya mama yang tau dan tanggung. percayalah sayang, tiada apa yang dapat memisahkan ikatan kita, kerana kita telah ditakdirkan bersama sejak 40 minggu di alam rahim dan seterusnya di alam maya ini. percayalah sayang, akan mama dan ayah hadapi segalanya untuk memberikan yang terbaik untuk anak mama.


esoknya pada jam 2 ptg @ 07-07-08, mama dibenarkan untuk keluar dari wad dan boleh pulang ke rumah bersama baby mama dan ayah. hanya kami berdua sahaja di rumah saat itu, masing-masing tiada pengalaman beranak kecil. nenek di Melaka telefon minta mama pulang segera, risau katanya, mama dan ayah tiada pengalaman. esok malamnya badan anak mama naik ruam bijik-bijik merah di sekitar muka, kesiannya anak mama, panas mungkin. mama menangis tak tahu nak buat apa. ayah bawak anak mama ke klinik, doktor kata alahan, dan bagi ubat sapu. doktor nasihatkan mama untuk banyakkan bagi susu badan sebagai antibodi. pagi esoknya kulit anak mama kembali putih dan kemerahan berkurangan. mama rasa lega sangat-sangat.

setelah keadaan mama dan nabihah stabil, juga urusan pendaftaran di JPN Putrajaya selesai, 2 hari kemudian ayah bawa mama pulang ke kampung untuk berpantang. kebetulan pula, saat itu musim durian gugur, terpaksalah mama menahan lidah dari merasa lazatnya buah durian dan tidak dapat menemani ayah mengutip durian yang gugur. 6 hari kemudian, tali pusat anak mama gugur, cepat jugaklah berbanding baby lain. 3 minggu kemudian, majlis aqiqah diadakan di kampung mama. meriah walaupun tidak berapa ramai tetamu yang hadir, kerana kebetulan ada beberapa majlis kenduri berlangsung serentak pada hari itu. collection anak mama banyak juga hari tu. murah rezeki nabihah!


ayah tinggalkan mama di kampung selepas 2 minggu bercuti, untuk berpindah rumah dan bersiap sedia untuk menghadapi PTK. kesian ayah, tiap malam telefon mama bertanya khabar. sepanjang usia perkahwinan mama, kami tak pernah berpisah lama. pernah sekali je mama dan ayah berjauhan, kerana ayah ke Kota Bharu berkursus. mama rindu pada ayah saat itu, tiada lagi orang yang panaskan batu tungku untuk mama, tiada lagi orang yang bangun buatkan susu untuk mama, tiada lagi orang yang tolong jaga nabihah saat mama terlena, tiada lagi orang yang urut mama di saat keletihan, tiada lagi orang yang sediakan air daun herba untuk mandian mama, semuanya terpaksa mama buat sendiri. nenek? nenek pun tak berapa larat membantu mama, maklum sahaja usia nenek kan dah menjangkau 69 tahun. mama tak mahu menyusahkan nenek, cukuplah makan minum mama sepenuhnya terjaga.


nabihah 2 minggu kemudiannya


nabihahku sayang,
selepas urusan perpindahan rumah selesai, keadaan mama juga dah kembali sedia kala, selepas selesainya kenduri aqiqah, mama ikut ayah balik ke KL dan menghabiskan saki baki cuti bersalin yang ada. ayah pula demam teruk selepas tu, mungkin kerana penat tak cukup rehat sepanjang tempoh tersebut.mama pula yang jaga ayah.




sayangku Izzah Nabihah

begitulah sayang, ceritera mama sepanjang tempoh 40 minggu kehamilan. betapa lamanya kami menantikan kehadiranmu dalam rumah tangga mama dan ayah, kesulitan dan permasalahan kesihatan yang mama rasa sepanjang tempoh kehamilan, keadaan yang memaksa kami berpindah rumah, kesakitan sepanjang tempoh melahirkan menjadikan dirimu begitu berharga dalam hidup mama dan ayah, terlalu berharga dan istimewa. kelahiran nabihah juga sebagai hadiah hari lahir ayah yang jatuh pada 25-07. sehingga ke hari ini, mama berbangga kerana air susu mama masih mengalir dalam tubuh anak mama, dan mama berdoa moga mama akan dapat terus menyusukan anak mama sehingga mencapai usia 2 tahun. mama juga berbangga kerana aurat mama sentiasa terjaga kerana hanya doktor perempuan sahaja yang merawat mama sepanjang tempoh kehamilan dan kelahiran.

Izzah Nabihah,
kaulah cahaya yang menerangi kegelapan
penawar segala kesakitan
penghibur di kala kebosanan
peneman di saat keseorangan
pendengar setia tiap cerita
izzah Nabihah, selamat hari ulangtahun kelahiran yang pertama
doa ayah dan mama: moga Nabihah berjaya di dalam kehidupanmu sayang!



kaulah yang mulia, yang bijaksana
sayang dari mama dan ayah!


pandang-pandang, jeling-jeling





yeaaaa! kenangan bersama ayah di Cameron Highland, April lalu
















3 comments:

  1. waduh duh panjangnyer kiinnn....
    berpinar mata den baco ni ha..inipun tak abis lg ni..to be continued hehehe..

    nway slamat panjang umur utk nabihah..if all mothers knew how the feeling of being a mother...semoga setiap ibu dikurniakan peluang itu..

    ReplyDelete
  2. salam

    best baca catatan awak walaupun panjang

    best baca pasal ur baby , so cute...

    sy pun ada baby girl baru 3 month+, i agree walaupun besalin tu sakit, preggy tu siksa tapi kemanisan selepas tu tak dapat digambarkan...tak pernah serik!:)

    ReplyDelete
  3. rosebud : hehehe, ari tu ada org tak saba2 nak baca citenya,takkan separuh jln je nad! nabihah pesan kena abihkan jugak telenovela mamanabihah tu!heheh

    siti nurbaiya : moga kita semua akan jadi mama terbaik buat baby-baby kita kerana hanya kita yang lebih tau apa yang terbaik buat mereka, btul ker? betul kot heheh

    ReplyDelete